Thursday, 9 May 2013

Adoii!! Masalah, Masalah, Masalah.. Bahagian 2

     Assalamualaikum..Untuk kali ini, sebelum kita masuk “main point” post hari ni, WS nak “share” satu cerita dulu. Cerita ini tentang seseorang yang sangat “famous”. Mestilah, siapa yang tak kenal Steve Jobs, pengasas Apple. Syarikat dialah yang mengeluarkan produk-produk popular seperti komputer Macintosh, iPod, iPad, dan yang paling meletup sekali, iPhone. Dah sampai iPhone 5 dah sekarang. Tapi bukan pasal produk-produk dia yang WS nak cerita ni (sebab WS bukannya “promoter” Apple, hehe..), tapi masalah-masalah yang dihadapi Jobs ketika mengurus syarikat tersebut.  

     Antara masalah yang dihadapi diawal penubuhan Apple ialah Lisa yang tidak terjual. Bukan orang la, tapi Lisa ialah sebuah komputer peribadi (PC). Pada awalnya, Lisa diharapkan menjadi kejayaan termasyhur Jobs namun bertukar menjadi kerugian terburuk yang ditanggung oleh Jobs dan rakannya. Lisa mencatat jumlah jualan yang sangat mengecewakan. Antara faktor yang menyebabkan Lisa tidak dipandang oleh pengguna-pengguna komputer pada masa itu ialah kerana produk ini tidak mampu menandingi komputer keluaran IBM. Segala pelaburan, perbelanjaan dan usahanya mengeluarkan Lisa sangat tidak berbaloi. Rugi,rugi! Kerugian dan kegagalan Lisa menyebabkan Jobs terpaksa menanggung pelbagai masalah. Lepas tu, apa yang jadi?

    Empat tahun kemudian, Jobs mengeluarkan sebuah produk yang menjadi antara komputer peribadi terbaik dan termasyhur iaitu Macintosh. Di sebalik semua masalah yang dihadapi Jobs ketika kegagalan Lisa, bagaimana dia mampu menghadapinya dan terus mencipta kejayaan menakjubkan  dalam hidup dia? Sebab, dia tahu masalah akan terus menjadi masalah jika kita dibelenggu 3 perkara “Selamanya”, “Semuanya” dan “Sebab Saya”. Lisa takkan bertukar menjadi Macintosh yang lebih berjaya jika Jobs membiarkan 3 perkara ini merantai masalahnya. 3 perkara inilah yang mengikat kebanyakan daripada kita dengan masalah, dan terus dibelenggu dengan masalah yang sama berulangkali. Kita akan tengok satu persatu apakah maksud setiap rantai yang menjadikan masalah kita lebih bermasalah.

Selamanya:
Inilah faktor terbesar menjadikan masalah lebih bermasalah. Ramai daripada kita menganggap bahawa sesuatu masalah atau kekurangan yang dihadapi adalah bersifat kekal. Sekali dah bermasalah, selamanya kita akan hadapai masalah yang sama. Kita selalu berfikir yang tiada apa yang mampu dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Gagal dalam exam, selamanya tak pandai. Tak reti cakap English, sampai bila-bila tak reti English. Tak pandai cakap depan orang ramai, selamanya tak boleh cakap depan umum. SALAH!! Masalah hanya akan kekal jika kita yang mengekalkannya. Masalah akan selesai jika kita yang menyelesaikannya.  Selalulah berpesan kepada diri, “Boleh settle ni” kerana jika anda kerap mencuba, anda akan berjumpa jalannya. Bila dah jumpa jalan, lepaslah daripada masalah tersebut. Ingat, masalah akan selamanya kekal jika kita yang tidak melepaskan diri kita daripada masalah tersebut.

Semuanya:
Masalah akan terus menjadi masalah dan berganda-ganda apabila kita asyik bersangka bahawa satu masalah melambangkan semua dalam hidup kita ini bermasalah. Dalam Bahasa Inggeris ini dipanggil “pervasiveness”. Terlebih berat badan, seluruh hidup musnah sebab tak boleh dapat kerja, tak boleh kahwin, tak boleh itu, tak boleh ini. Tapi, realitinya, ada je orang gemuk jadi bos besar, ada je orang gemuk kahwin, siap anak 6 lagi, dan ada je mereka yang mencipta banyak kelebihan berbanding kita. Kenapa? Satu masalah tidak melambangkan seluruh hidup kita. Hanya sebahagian kecil elemen dalam hidup kita sahaja yang ada masalah. Contohnya, seseorang menghadapi masalah dengan berat badan, itu sahaja masalahnya, selesaikan masalah tersebut, habislah! Jangan disebabkan satu masalah, kita mengheret jatuh seluruh bahagian dalam hidup kita yang mampu kita gunakan untuk mencipta kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan kita.

Sebab Saya:
Faktor yang terakhir ialah "personal", atau dalam Bahasa Melayunya peribadi. Masalah akan bertambah bermasalah bila kita mengaggap bahawa semua masalah berpunca daripada siapa diri kita. Kebanyakkan masalah berpunca daripada apa yang kita buat, apa yang kita pilih, bukannya siapa diri kita. Disebabkan kita miskin, kita tak boleh berjaya. Disebabkan kita gemuk sperti yang WS nyatakan sebelum ini, kita tak boleh berjaya. Disebabkan kita tak cantik, kita kena bagi laluan kepada yang cantik untuk masuk pertandingan. Semua ini perlu dibuang!! Tiada lagi merit kejayaan berdasarkan siapa kita tapi kejayaan hadir daripada apa yang kita buat. Sebab itu seseorang makin stress bila cuba mmengaitkan masalah yang dihadapi dengan diri sendiri, padahal sebenarnya tiada kaitan langsung dengan apa yang ada pada dirinya. Jadi, banyakkan berfikir tentang apa yang kita nak buat berbanding siapa kita.


     Kesimpulannya, masalah akan menjadi lebih bermasalah bila kita mengatakannya adalah selama-lamanya, semuanya dan sebab saya. Jauhi pemikiran-pemikiran sebegini untuk kita lebih efektif dan efisyen menangani apa jua masalah yang kita hadapi dalam hidup, baik masalah peribadi, masalah dalam perhubungan, masalah bisnes, masalah pelajaran dan pelbagai lagi. Ingat, masalah akan bertambah bermasalah jika kita sendiri yang bermasalah. Jadi, ubah diri dan minda daripada diri yang bermasalah kepada diri yang lebih baik. Kawal masalah anda, terkawal hidup anda. Semoga kita lebih berjaya dan bahagia. All the best, guys!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Monday, 25 March 2013

Adoii!! Masalah, Masalah, Masalah..

Assalamualaikum..Hidup memang bermasalah. Betul, kan? Siapa yang dekat dunia ni hidupnya tak ada masalah? Sultan ada masalah, PM ada masalah, CEO ada masalah, pelajar ada masalah, makcik “cleaner” ada masalah, tukang kebun ada masalah, pak “guard” ada masalah, sampaikan “baby” yang kecil tu pun ada masalah. Mana taknya, nak mandi sendiri tak boleh, nak makan sendiri tak boleh, nak tidur sendiri pun tak boleh. Terpaksalah mak dan ayah dodoikan si kecil tu. Nak dodoikan anak pun masalah, mak dan ayah pakat-pakat lawan tolak, “Abang buatlah”, “Mak dia la lagi baik dodoikan”. Aiisshh, masalah, masalah, masalah!

 Jadi, apa yang kita nak bincang hari ni? Yang pastinya, kita bukannya nak senaraikan masalah-masalah dekat dunia ni. Memang tak habis “list” la kalau nak senaraikan satu-satu. Untuk kali ini, kita nak tengok dan faham sedikit tentang masalah. Apakah asas berlakunya masalah? Apakah yang perlu kita faham apabila masalah timbul? Inilah persoalan-persoalan utama dalam “post” WS kali ini.

Apa yang WS senaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada masalah yang kita hadapi dalam hidup kita seharian. Bahkan, ada dalam kalangan kita yang telah dan masih menanggung masalah tersebut semenjak bertahun-tahun. Pertanyaan utama ialah KENAPA KITA ADA MASALAH? Asasnya, setiap masalah yang berlaku, adalah cabang daripada apa yang kita ada dalam hidup. Kalau kita ada kerja,kita akan ada masalah tentang kerja. Kalau kita ada kawan, kita akan ada masalah tentang kawan kita. Kalau kita belajar, kita akan masalah berkaitan pelajaran kita. Kalau kita ada anak, kita akan ada masalah berkaitan anak kita. Kalau kita ada kereta, kita akan masalah tentang kereta.

Penyelesaiannya, tak payah ada apa-apalah dalam hidup kita. Senang, baru takda masalah. Kan? Tapi, apalah nikmatnya hidup kalau tak peroleh apa-apa. Hidup tanpa kerja, hidup tanpa kawan, hidup tanpa cinta, hidup tanpa harta, hidup tanpa keluarga. Semua ini menunjukkan pencapaian dan usaha yang telah kita lakukan dalam hidup kita, dan inilah hasilnya. Jadi, apa yang kita perlu sedar dan tukar sekarang ialah KITA TAK MUNGKIN DAPAT LARI DARIPADA MASALAH. Apa yang kita ada, itulah masalah yang bakal kita ada. Mula terima hakikat yang hidup tak bermasalah adalah hidup yang tak mungkin. Kita memang akan dibebani dengan masalah.  Sama ada kita yang cipta atau kita menjadi mangsa, masalah tetap akan datang. Yang membezakannya hanya kecil besar masalah itu dan bagaimana kita menghadapinya. Oleh yang demikian, kita harus BERSEDIA!!!  

Tapi, kita mungkin memikirkan yang kenapa hidup orang lain nampak macam senang, nampak macam takda masalah. Contohnya, kita cemburu melihat orang yang mempunyai syarikat besar. “Bahagia je si Leman tu, syarikat besar, kereta besar, bini besar..Kita ni pantang lekat bahagia, ada je masalah.” Namun, prinsip berharga yang kita pelajari hari ini ialah setiap yang kita ada, pasti akan timbul masalah daripadanya. Dengan syarikat yang lebih besar daripada kita, masalahnya mungkin lebih banyak. Macam mana nak tambah keuntungan berganda bagi menapung kos operasi yang meningkat? Macam mana nak memastikan setiap 200 pekerjanya berpuas hati dan menjaga imej serta kualiti syarikat? Macam mana hendak memastikan syarikatnya yang telah popular tidak merudum dan tersungkur menanggung malu? Nampak sekarang? Tiada orang yang mampu lari daripada masalah. Tiada orang yang tiada masalah.

Ingat, jika kita mula mengubah persepsi daripada HANYA KITA YANG ADA MASALAH kepada SETIAP ORANG ADA MASALAH, kita dapat mengurangkan fokus minda kita memikirkan tentang orang lain. Fokus kita hanya akan lebih terarah kepada masalah yang kita hadapi dan bukan lagi kesenangan yang orang lain perolehi. Jangan terlampau stres memikirkan kesusahan dan kepayahan kita dengan membayangkan kesenangan orang lain. Itu hanya persepsi songsang minda kita yang menjadikan masalah kita bertambah bermasalah. Bila masalah tambah bermasalah, kita mula tertekan dan stres. Kesan tekanan yang memuncak ini, manusia mula iri hati, manusia mula dengki, manusia mula bergaduh, manusia mula bertengkar, manusia mula menghancurkan satu sama lain.

Jadi, mulai sekarang, ubah minda dan ubah persepsi yang BUKAN KITA SAHAJA YANG ADA MASALAH, SEMUA ORANG ADA MASALAH. Dan, untuk baiki masalah kita, baiki minda kita terlebih dahulu. Persoalan berikutnya ialah apa yang perlu kita lakukan? Macam mana nak selesaikan masalah kita? Perbincangan ini bakal WS sentuh dalam “post” Adoii!! Masalah, Masalah, Masalah.. Bahagian 2. Tungguuuu!!!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Friday, 8 February 2013

“Suka Hati Aku La!!”: Menangani EGO

     Assalamualaikum.. “Suka hati aku la!!”. “Kau tau apa??”. Ha?? Apasal tiba-tiba macam marah je ni. Marah kat sapa pulak ni? Bunyi macam berlagak pun ada juga. Haa, kalau nak tahu, inilah antara reaksi dan ayat-ayat yang sering dilafazkan oleh orang yang EGO. Sebenarnya, EGO ni kita boleh tengok dalam macam-macam ragam. Macam Astro, macam-macam ada. Hehe. Ada yang EGO tak boleh ditegur, ada yang EGO tak mahu  terima pandangan orang lain, ada yang EGO dengan kelebihan material, rupa dan populariti, dan ada juga yang EGO tapi sebenarnya tak tahu apa pun! Ada antara kita yang sedar dia mempunyai EGO yang tinggi, dan ada juga yang tak sedar. Oleh itu, hari ini kita akan sama-sama baiki diri kita dengan cara menangani dan mengawal EGO kita. Jom baca tips EGO kali ini.

Sentiasa Menghinakan Diri
     Simptom terbesar orang yang mempunyai masalah EGO ialah merasakan diri terlalu MULIA dan HEBAT. Dialah yang patut dihormati, patut digeruni, patut dibesarkan, patut dipuji, patut diberi perhatian, patut segalanya. Perasaan perasan besar ini menjadikan kita tak boleh ditegur, tak boleh dinasihati, tak boleh dibetulkan. Kebiasaannya kelebihan material seperti harta, kereta, barangan mewah,pangkat, populariti menjadi punca perasan MULIA ini. Lebih yang itu, lebih yang ini.

     Cantas EGO dengan sentiasa set dalam minda yang diri kita ini hina. Kemuliaan dan kebesaran hanya milik  Allah. Sentiasa ingat bahawa diri kita sangat hina kerana segah mana pun sut yang dipakai dan kereta yang dipandu, kita sentiasa membawa kotoran bersama kita. Air kencing,najis, muntah, kentut, segalanya ada dalam perut dan badan kita. Benda-benda kotor inilah yang sering kita bawa ke mana sahaja.Pergi majlis besar ke, pakai baju cantik-cantik ke, pangkat tinggi-tinggi ke, tetap ada najis dalam perut. MULIA sangat ke kita ni, walhal sentiasa membawa najis ke mana sahaja? So, jangan perasan hebat sangat la ekk!!

Meminta dan Memberi Maaf
     Ada satu perkara yang orang EGO tak boleh buat. Sering mencari kemaafan. Ha, kalau nak “test” EGO ke tak, cuba engok diri kita sendiri. Adakah kita banyak mencari dan meminta maaf daripada orang lain atau buat tak tahu je bila dah buat silap? Meminta maaf adalah proses kita merendahkan diri dan memuliakan orang lain untuk mendapat pengampunan daripada orang tersebut. Seseorang yang EGO pastinya takkan sanggup merendahkan diri sendiri dan memuliakan orang lain untuk meminta maaf. Bak kata Elton John “Sorry seems to be the hardest word.” Sebab? Orang yang EGO merasakan dia lebih MULIA daripada yang di hadapannya.

     Jadi, untuk mengikis EGO daripada diri kita, sentiasalah meminta dan mencari kemaafan orang lain. Semua orang buat salah, dan semua orang itu termasuk KITA. Semua orang tak sempurna, dan semua orang itu termasuklah KITA. Jadi, bila dah buat salah, biasakan diri meminta maaf. Meminta maaf selalunya tak memerlukan huraian panjang lebar, cukup sekadar sebaris ayat “Minta maaf”, “Sorry” yang datang dari hati. Ingat, mencari kemaafan membuatkan kita lebih MULIA di mata orang berbanding merasakan diri tu MULIA di mata sendiri.

Kawal Fizikal
     Gerak badan mempunyai hubung kait dengan kesan psikologi. Sesuatu gerakan seperti postur duduk menggambarkan keadaan psikologi seseorang ketika itu. Hal ini boleh juga digunakan untuk mengawal tahap EGO kita. Macam mana? Dengan memanipulasi gerak fizikal untuk kesan psikologi yang MANTOP! Selalulah amalkan gerak fizikal ini. Antaranya, kerap menundukkan kepala. Apabila kepala sering ditundukkan, secara psikologinya menggambarkan diri kita seorang yang suka beralah. Apabila kita senang beralah, kuranglah “angin taufan” kita, barulah dapat turun rasa EGO tu.

     Persoalannya, bila nak buat? Bila-bila pun boleh. Masa berjalan pun boleh. Bak pesanan dalam Al Quran, sentiasa tundukkan pandangan ketika berjalan. Jika kerap diamalkan perbuatan ini, secara tidak sedar lama-kelamaan akan menjadikan kita seorang yang rendah diri. “Try” la. Dah lama Al Quran bagi tips ni. Lagi satu, tundukkan pandangan juga jika terasa nak marah atau bila dikonfrontasi. Juga, sentiasa bernafas panjang dan dalam-dalam bila berada dalam situasi seperti itu. Pernafasan yang panjang dan dalam menjadikan kita lebih tenang, manakala pernafasan yang pendek-pendek dan laju akan meningkatkan degupan jantung dan darah mengalir laju. Tu yang dok naik darah tu, dan asyik nak melawan je. Jadi, mulai sekarang, kawal gerak fizikal anda untuk mengawal EGO anda!

     Inilah antara tips yang WS kongsikan berkenaan mengawal EGO. Setiap orang mempunyai EGO. Yang penting ialah memastikan EGO kita sentiasa terkawal. Sebab kalau kita tak kawal EGO, nanti EGO yang akan kawal kita. Kesannya? Banyaklah perkara-perkara negatif akan kita lakukan. Mulai sekarang, sentiasa kawal EGO anda, anda mampu mengubahnya. (Macam iklan, hehe..) Nanti ada tips lagi, WS kongsi lagi. All the best, guys!!

Hustle up and Be GREAT!!
Salam transformasi daripada,

Thursday, 18 October 2012

Kisah Bilik Tumpangan

     Assalamualaikum..Aik, macam pelik je bunyi posting kali ni. Dah lama tak post, tiba-tiba macam kontroversi je tajuk WS ni. Nampak je “bilik tumpangan” banyakla gambaran yang dibayangkan. Ops! Kisah bilik tumpangan ini bukan kisah bilik tumpangan yang selalu kita baca dekat akhbar-akhbar tu. Yang ini kisah bilik tumpangan seorang raja yang disinggahi oleh seorang wali Allah. Nak tahu apa yang jadi dalam bilik tersebut? Jom kita ikuti kisah kali ini.

Monday, 16 July 2012

Skil Belajar: Banyaknya..Nak Baca Yang Mana Satu Ni?

     Assalamualaikum.. “Banyaknya..Nak baca yang mana satu ni?”. Itulah ayat yang sering kali terdetik apabila kita selak  buku nak baca, Kan? Mula-mula dah semangat nak belajar, tapi melihatkan tebalnya buku yang perlu dibaca, terus lemah jadinya. Tambahan pula dengan deretan perkataan-perkataan, langsung patah semangat. Silap-silap, tutup terus buku yang nak baca awalnya tadi.

     Yang menjadi masalahnya kalau tak baca, tak boleh jawab “exam” nanti. Tapi, kalau nak baca, terlalu banyak, akan ingat semua ke? Masalah ni semakin bertambah runcing apabila pelajar semakin menghampir tarikh peperiksaan. Nak habiskan semua bacaan dalam waktu yang singkat. Untuk itu, jom ikuti tips belajar daripada WS berkenaan isu “Banyaknya..Nak Baca  Yang  Mana Satu Ni?”

 Baca Idea, Bukan Perkataan
     Kebanyakan pelajar terkeliru bagaimana hendak ingat sesuatu yang dibaca. Mereka sering menghafal terus ayat yang dipetik daripada teks bacaan. Bukan tak boleh, tapi banyak yang nak diingat kalau macam tu. Sebenarnya Yang banyak itu hanyalah perkataan tambahan, seperti “yang”, “dan”, “dia”, “mulanya” dan banyak lagi perkataan lain. Yang merupakan isi penting mungkin hanya beberapa perkataan sahaja.. Jadi, jika ayat seperti ini “Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. “, isi sebenarnya hanyalah Mat Kilau matang dan disegani.. Jadi, baca idea, bukan perkataan. Hafal idea, bukan perkataan atau ayat.

Baca Awal
     Jika semua pembacaan nak disumbat sekaligus, memang terasa banyak jadinya. Oleh yang demikian, amalkan bacaan berperingkat. Pepatah “sikit-sikit lama-lama jadi bukit” amatlah sesuai menggambarkan idea ini. Pembacaan sekaligus akan menyebabkan otak anda tidak mempunya masa yang cukup untuk menyusun, memahami dan menyimpan apa yang anda baca. Bila terkejar dengan masa, mulalah kalut dan stress. Faktor tekanan menjadi punca utama otak menghadapi masalah menyusun, memahami dan menyimpan data anda. Maka, bacalah berperingkat, dari awal tahun sehinggalah waktu peperiksaan, nescaya anda akan lebih mudah faham, mudah ingat dan tidak tertekan.

 Papan Cerita
     Teknik ini menjadikan pembacaan anda lebih menarik dan efektif. Melihatkan deretan perkataan-perkataan dalam buku teks Sejarah umpamanya, membuatkan pelajar terasa bosan dan mengantuk. Apa yang boleh dilakukan ialah menukarkan teks tersebut ke dalam bentuk papan cerita. Kan lagi best? Contohnya, teks berkenaan pertarungan antara Rentap dan British di Sarawak boleh diubah ke dalam bentuk kartun dan story board. Dengan cara ini, anda tidak membaca dan menghafal perkataan tetapi mengingati cerita. Kan lagi senang nak ingat cerita. Cubalah, best sangat jika belajar Sejarah dengan cara ini. Subjek-subjek lain pun boleh juga. Serlahkan kreativiti anda!

Baca Peta Minda/Konsep
     Salah satu cara untuk mengelakkan anda daripada membaca banyak ialah memahami peta minda/konsep yang disediakan di setiap bab. Anda mungkin tidak perlu membaca semua dalam bab tersebut kerana anda mampu menjangkakan isi-isi yang akan ditemui apabila membaca kelak jika anda memahami peta minda/konsep tersebut. Selain itu, tatkala anda membaca, anda menjadi semakin faham dan mudah untuk belajar . Ini kerana anda hanya perlu menyambungkan isi-isi daripada peta minda/konsep tadi sahaja. Ianya seperti anda telah siap 60% “jigsaw puzzle” anda, cuma nak masukkan kepingan-kepingan “puzzle” yang tertinggal sahaja. Dengan ini, anda telah menjimatkan masa dan tenaga daripada membaca deretan perkataan dalam bab tersebut.

      Kesimpulannya, untuk berjaya dalam pembelajaran para pelajar perlu belajar dan perlu belajar cara nak belajar. Mengetahui cara belajar yang betul dan efektif dapat membantu menjadikan pembelajaran anda lebih berkesan. Bila belajar dah berkesan, Insyaallah “result” pun gempak la jadinya.Jika para pelajar mempunyai persoalan dan permasalahan tentang skil belajar, sudilah berkongsi dengan WS di  Jadi, WS ucapkan All the best and Have fun studying!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Tuesday, 26 June 2012

“Power” Giler “Presentation” Dengan 3E

     Assalamualaikum..Kadang-kadang kita melihat ada orang yang apabila dia “present” sangat “power” dan meletup sekali. Rasa macam tak cukup je masa dengar dia bercakap. Macam tak mahu berhenti pun ada. Tapi, ada juga yang bila “present”, baru lima minit kita dah rasa nak ukur lantai. Ukur lantai? Maksudnya mengantuk la tu. Ha, perbezaan antara mereka-mereka ini terletak kepada tahap kemahiran berbicara mereka. Orang yang tinggi kepakarannya tentulah hebat “presentation” mereka. Rasa berbekas dan seronok sekali setiap kali mendegar bicara mereka. Anda pun boleh jadi macam mereka. Jom ikuti tips 3E WS yang akan buatkan “presentation” anda “power” giler  macam mereka.

Energy
      “Energy” atau tenaga lazimnya dikaitkan dengan perasaan akan kewujudan seseorang itu. Dalam erti kata lain, ketika anda berbicara di khalayak umum, “audience” anda dapat merasai kehadiran dan kewujudan anda di hadapan mereka. Justeru, pandangan dan tumpuan mereka hanya terarah kepada “presentation” anda. Anda seolah-olah magnet dan pandangan mereka diibaratkan sebagai besi. Semua besi akan tertarik dan tertumpu pada magnet, iaitu anda.

     Anda sebolehnya menghasilkan “energy” yang “power” dari awal “presentation” dengan nada suara yang jelas, berada di posisi yang jelas dan berbicara penuh semangat. Kekalkan “energy” yang telah dibina di awalnya  dengan rentak percakapan atau “pace” yang normal (tidak terlalu laju atau terlalu perlahan), gaya bahasa yang menarik, melibatkan “audience” anda ketika berbicara seperti bertanya soalan atau menyebut nama mereka ketika memberi contoh, dan elemen humour untuk terus menarik perhatian “audience” anda. Selain itu, gerak tubuh dan penggunaan ruang juga menambahkan “power” anda ketika beraksi.

Emotion
     Kunci utama E yang kedua ini ialah mereka rasa apa yang anda rasa. Jika anda sedang sedih, mereka juga harus sedih. Jika anda sebak, mereka juga merasa sebak. Jika anda gembira, mereka juga menikmati kegembiraan. Mudahkan? Cakap senang, nak buat tu susah. Ada penceramah yang kita lihat hanya dia saja yang menangis atau gelak sendiri sedangkan “audience” terpinga-pinga dek tidak faham kesedihan atau lawak yang dibuatnya. Ini kerana penghayatan emosi dalam “presentation” tidak dapat dirasai oleh “audience”. Perlu diingat, penglibatan emosi “audience” dalam “presentation” anda akan membuatkan “presentation” anda begitu berbekas dan meninggalkan kenangan buat mereka. 
     Usah terlalu drastik mengubah emosi “audience” anda. Maknanya, selitkan dahulu “cue” atau petanda sama ada secara lisan iaitu perkataan, atau elemen fizikal yang lain seperti gerak tubuh, muzik latar, pencahayaan, nada suara supaya mereka tidak terpinga-pinga akan perubahan mood “presentation” anda. Keduanya, pastikan nada suara.  Nada suara juga kunci utama emosi kerana nada yang betul akan menghasilkan emosi yang betul. Selain itu, “pace” yang bersesuaian dengan situasi emosi juga penting. “Pace” yang rancak ketika suasana “happening” dan agak “slow” ketika sedih.

Eye Contact
      Antara cara anda berkomunikasi dengan “audience” anda adalah melalui pandangan mata. Melihatkan “audience” anda yang ramai, menjadi mustahil bahkan membosankan jika anda cuba memanggil nama semua orang setiap masa untuk menandakan yang anda hiraukan mereka. Salah satu cara untuk mengelakkan “audience” anda rasa tidak diendahkan ialah dengan menyebarluaskan pandangan mata anda. Apabila anda melihat mereka ketika berbicara adalah seolah-olah anda hanya berbicara dengan meraeka sahaja. Ini membuatkan “audience” anda rasa begitu “special” dan dirasai kewujudannya.

     Oleh yang demikian, pastikan pandangan anda tidak statik, iaitu tertumpu hanya pada satu hala sahaja. Ibaratkan mata dan kepala anda sebagai kamera. Putarkan kamera anda ke seluruh ruang untuk merakam “presentation” anda dengan sebaiknya. Analoginya, semua orang suka jika kamera merakam gambar kepada mereka, kan? Kalau tak percaya, cubalah tengok “time” rakaman filem, ramai je yang suka melintas kat belakang masa tengah “shooting” tu kan. Ataupun masa ambil gambar, ramai je yang nak menempek “posing” sekali. WS pun suka masuk kamera. Hehe.

     Wah, lepas makin ni “power” la “presentation” anda ek. Sentiasa ingat tips “presentation” 3E WS ini. “Presentation” anda menggambarkan potensi dan kelebihan anda yang miliki, oleh itu sentiasalah beri yang terbaik dan yang ter“power” setiap kali anda beraksi. Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda menghebatkan lagi “presentation” anda. Lepas ni kalau dah hebat tu, jangan lupa WS ek. Hehe. All the best, guys!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Wednesday, 6 June 2012

BFF Yang "Awesome": Tips Daripada Sairus Salikin

     Assalamualaikum..Siapa kat sini yang ada BFF? Kebanyakan daripada kita mempunyai ramai kawan, tetapi daripada ramai-ramai dalam senarai kawan anda, mesti ada segelintir yang anda gelarkan mereka sebagai BFF (Best Friend Forever). Wah, “forever” tu! WS ada BFF, mesti anda pun ada BFF kan. Mereka yang kita anggap BFF ini lazimnya adalah mereka yang begitu akrab dan memahami peribadi kita. Senang cakap, mereka yang sekepala dengan kita lah.

     Menariknya, asas persahabatan itulah yang akan menentukan sekukuh mana dan seikhlas mana persahabatan yang terjalin di antara anda dan BFF anda. Untuk itu, kita akan menyingkap tips persahabatan yang dipetik daripada sebuah kitab masyhur, Sairus Salikin. Menurut kitab ini, persahabatan terasas di atas empat perkara, dan empat perkara inilah yang akan menentukan keutuhan dan hala tuju sebuah persahabatan.

Bersahabat kerana zatnya:
     Asas yang pertama ialah persahabatan yang terjalin kerana zat atau keadaan fizikal seseorang itu. Keadaan fizikalnya yang menarik membuat kita terdetik untuk menjalinkan persahabatan dengan BFF kita. Contohnya, disebabkan dia “hensem”, cantik, bertubuh sasa, tinggi, kuat, sempurna penampilan, maka kita pun bersahabat baik dengannya. Asas ini adalah yang paling rapuh kerana zat atau fizikal akan berkurang seiring dengan peredaran hidup. Jika dulunya cantik, selepas kemalangan, hilang kaki sebelah, pasti kita akan meninggalkan dia. Jika dulu kuat, boleh tolong pukul orang, setelah berusia tiada kudrat, maka ditinggalkannya.

Bersahabat kerana keadaannya:
     Keadaan di sini merujuk kepada elemen keduniaan yang dipunyai oleh seseorang tersebut. Kerana kayanya, kerana popularitinya, kerana pangkatnya, kerana hartanya, kerana keretanya, kerana pandainya. Dengan keadaannya yang melebihi kita, diharapkan dengan bersahabat dengannya, dapatlah kita merasa tempias segala kelebihannya. Selain itu, dapat jugalah kita menggunakan kelebihannya untuk keuntungan diri sendiri. Berwaspadalah daripada menjadi  BFF yang sebegini kerana jika hilang segala keduniaan dimilikinya, maka seseorang itu akan meninggalkan rakanya.

Bersahabat kerana Akhirat:
     Asas yang ketiga ialah kerana kemenangan Akhirat. Hal ini merujuk kepada persahabatan yang membantu kita mendapat pahala dan kemenangan di Akhirat. Contohnya, kita bersahabat dengan BFF kita kerana dapat membantu kita dalam ibadah dan menambahkan ilmu agama. Kita bersahabat dengan BFF kita kerana sering mengajak kita bersolat dan berbuat kebaikan. Maka beruntunglah mereka yang mempunyai BFF sebegini yang dapat membantu membawa kepada kemenangan Akhirat.

Bersahabat kerana Allah:
     Inilah asas persahabatan yang paling kukuh kerana tiada padanya kelebihan dunia dan tujuan Akhirat. Melihat semua manusia adalah hamba Allah, maka dikasihinya sekalian manusia itu walaupun yang tidak dikenalinya. Tidak kira kenal atau tidak, miskin atau kaya, alim atau jahil, baik atau jahat, semuanya kerana Allah. Inilah tingkatan BFF yang paling tinggi dan sukar dicari, sama seperti kasih Abu Bakar kepada Rasulullah, hingga diberi nyawanya, hartanya dan anaknya kepada baginda kerana Allah. Maka dia pun dimuliakan Allah di dunia dan di langit.

     Begitulah tips persahabatan yang dapat kita buat panduan bersama. Ingat, apa asas dan tujuan kita bersahabat dengan BFF kita akan menentukan arah dan keputusan di akhirnya. Jika kerana dunia, dunialah yang kita perolehi, jika kerana Akhirat, Akhiratlah yang akan kita perolehi, dan jika kerana Allah, Allah lah yang akan kita perolehi. Semoga kita menjadi BFF yang terbaik dan mendapat BFF yang terbaik. Selamat bersahabat..=)..

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada, 

;
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More